Friday, August 31, 2007

MERDEKA! SAYA ANAK MALAYSIA!

Kemerdekaan ialah pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan.

Istilah kemerdekaan digunakan untuk membezakan dengan penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai "wilayah" yang dikawal oleh sebuah kerajaan luaran dari segi politik dan tentera. Perkataan ini kekadang juga digunakan dalam erti kata yang lebih lemah untuk membezakan dengan hegemoni yang merupakan kawalan sebuah negara secara tak langsung oleh sebuah negara yang lebih kuat.

Kemerdekaan boleh merupakan taraf permulaan bagi sebuah negara muncul (sering kali untuk mengisi kekosongan politik), tetapi sering merupakan pembebasan daripada kuasa yang mendominasi kawasan itu. Dari segi negatif, kemerdekaan juga boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak dikuasai oleh kuasa yang lain melalui penjajahan, dasar peluasan kuasa atau imperialisme.

Kemerdekaan boleh diperoleh melalui penyahjajahan, pemisahan atau pembahagian. Walaupun ketiga-tiga ini sering berbetulan dengan kemerdekaan, ketiga-ketiga ini harus tidak dikelirukan dengan pemberontakan yang biasanya merujuk kepada penggulingan pihak berkuasa secara ganas. Ini kekadang hanya bertujuan untuk pengagihan semula kuasa — dengan atau tanpa unsur pembebasan seperti dalam kes pendemokrasian — di dalam sebuah negara dan oleh itu, bentuk negara itu tidak berubah. Umpamanya, Revolusi Oktober Rusia tidak bertujuan untuk memperoleh kemerdekaan negara; sebaliknya Perang Revolusi Amerika Syarikat bertujuan sedemikian.

Autonomi merujuk kepada sejenis kemerdekaan yang diberikan oleh pihak berkuasa yang pada dirinya masih mengekalkan kuasa muktamad terhadap wilayah itu (sila lihat penurunan kuasa). Negeri naungan merujuk kepada kawasan autonomi yang bergantung kepada kerajaan yang lebih besar untuk perlindungannya sebagai kawasan autonomi.

Sebuah negara yang ingin menuntut kemerdekaan daripada pihak berkuasa akan mengumumkan pengisytiharan kemerdekaan, umpamanya Pengisytiharan Arbroath oleh Scotland yang merupakan contoh negara terawal yang masih wujud serta Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat pada tahun 1776 yang paling masyhur.

Terdapat banyak sebab mengapa sebuah negara atau wilayah hendak menuntut kemerdekaan. Kekecewaan terhadap pihak berkuasa merupakan alasan yang sering dikemukakan oleh gerakan-gerakan pengikut faham pemisahan, tetapi kesusahan ekonomi biasanya adalah yang mencetuskan tindakan gerakan-gerakan ini. Cara untuk menuntut kemerdekaan berbeza-beza dari tunjuk perasaan yang aman ke perang saudara yang ganas.

Tarikh kemerdekaan (atau kekadangnya permulaan pemberontakan) biasanya dirayakan sebagai hari kelepasan negara yang dikenali sebagai hari kemerdekaan.